Lampu Jalan Rosak dapat Perhatian dari Yang Dipertua MPJBT

Seri Mengkuang, Khamis - 27 Julai 2017

Setelah sekian lama isu lampu jalan yang tidak dapat diselenggarakan akibat dari keadaan kewangan yang parah, hari ini pihak Yang Dipertua MPJBT telah menghantar wakil rasminya En. Asri untuk membuat lawatan lapangan ke Pangsapuri Seri Mengkuang. Lawatan ini susulan dari surat permohonan yang telah dihantar oleh barisan AJK Badan Pengurusan baru yang dilantik pada awal bulan ini melalui Majlis Mesyuarat Tahunan.

Menurut En. Asri, semua lampu jalan yang rosak akan diganti serta bakal diselenggara keseluruhannya oleh MPJBT. Ini bagi meringankan beban kewangan Badan Pengurusan serta memberi khidmat masyarakat di sini yang di bawah naugan MPJBT. Beliau juga menyatakan, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua Warga Seri Mengkuang menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan menjelaskan yuran selenggaraan tahunan yang hanya RM50. Tambahan pula ia menjadi suatu ketidakadilan kepada Warga Seri Mengkuang yang menunaikan tanggungjawab mereka yang telah membuat bayaran penuh setiap bulan, yang mana mereka juga terpaksa bersama-sama menangung bebanannya. Beliau juga berharap pada masa akan datang semua Warga Seri Mengkuang perlulah bersatu dan menunaikan tanggungjawab membayar yuran selengaraan. Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya setiap Warga Seri Mengkuang membayar yuran semasa dan yuran tunggakkan yang hanya berjumlah RM100 setiap bulan tanpa gagal. Supaya Badan Pengurusan serta Warga Seri Mengkuang dapat memastikan pangsapuri ini terus terpelihara dengan baik dan selesa serta selamat untuk didiami.

Sepanjang sesi lawatan dari pihak MPJBT yang melawat kawasan sekitar dan membuat pemeriksaan umum setiap unit lampu jalan dan infrastruktur, mereka di pandu oleh En. Kamsani (Warga C4) dan En. Rosli (Warga C1) selaku ahli jawatankuasa Badan Pengurusan. Mereka adalah tonggak utama yang telah menyelesaikan pelbagai permasaalahan di Pangsapuri Seri Mengkuang, sejak pemaju utama menyerahkan segala hal-ehwal pengurusan pangsapuri kepada Badan Pengurusan yang terdiri dari pemilik-pemilik unit disini.

Hasil dari pemeriksaan yang di lakukan, En. Asri menyatakan pemasangan lampu kalimantang atas usaha barisan AJK yang lepas adalah inisiatif baik dan kreatif, yang mana dapat memberikan cukup cahaya diwaktu malam untuk kemudahan Warga Seri Mengkuang. Walaubagaimanapun beliau menambah kaedah ini adalah merbahaya kerana pendawaian elektrik yang tidak cukup sempurna. Setelah mendengar penjelasan terperinci dari En. Kamsani berkenaan kekangan kewangan yang dihadapi Badan Pengurusan selama beberapa tahun ini, perlaksanaan penyelesaian sementara dengan kos yang minima adalah dianggap wajar.

Sebuah Jentera 'skylift' digunakan untuk mengetahui status terkini keseluruhan setiap lampu jalan dari bahagian atas hinggalah panel dibahagian bawah untuk mengenal pasti kesemua jenis kerosakkan bagi melengkapkan data-data yang diperlukan bersesuaian dengan tentatif lawatan kerja lapangan seperti perancangan jadual hari ini. Pemeriksaan ini dilakukan oleh kumpulan tenaga kerja teknikal yang bertauliah dan berpengalaman dari MPJBT.

Segala perbelanjaan kos yang terlibat seperti jentera, peralatan-peralatan, khidmat tenaga kerja pakar, isuran kemalangan tenaga kerja mahir, persediaan kertas cadangan, anggaran kos semasa dan jangka panjang, serta laporan penuh dan sebagainya semasa sesi lawatan ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihak MPJBT. 

Berkenaan cadangan permohonan tambahan satu unit lampu jalan di kawasan 'Taman Permainan Baru', beliau mencadangkan untuk memasang tiga unit tiang lampu menggunakan lampu limpah atau 'Spotlight' di kawasan tersebut dalam kertas cadangan (proposal) beliau nanti.

Kertas Cadangan itu nanti akan mengandungi pengesahan kesemua unit lampu jalan, pengesahan kerosakan semasa yang telah dikenalpasti, cadangan penambahan sebanyak tiga unit lampu limpah serta kos keseluruhan yang diperlukan. Kertas cadangan yang telah siap dalam format laporan itu nanti kemudiannya akan di ajukan kepada Tuan Yang Dipertua MPJBT untuk kelulusan proses selanjutnya. 

Seluruh Warga Seri Mengkuang amat berharap sepenuhnya, supaya Tuan Yang Dipertua MPJBT yang di lantik untuk mentadbir dan mengurus kawasan jajahan Johor Bahru Tengah pada fasa pentadbiran sekarang dapatlah kiranya meluluskan permohonan ini dalam masa yang terdekat. Semoga permulaan yang baik ini dapat berterusan seiring dengan peningkatan semangat muafakat semua Warga Seri Mengkuang dalam menjalankan peranan masing-masing menjadikan pangsapuri ini pilihan utama untuk didiami.

‚Äč