MDEC membawakan Program Pemasaran Digital eUsahawan ke Komuniti Seri Mengkuang

April 6, 2017

Komuniti Seri Mengkuang dipilih oleh MDEC untuk diberikan pendedahan berkenaan dengan pemasaran digital. Ini selaras dengan perkembangan teknologi maklumat global yang memberi peluang besar kepada usahawan-usahawan di seluruh dunia menjalankan perniagaan secara atas talian. Ianya juga adalah mesra pelanggan yang mana aktiviti jual-beli menjadi mudah dan cepat jika dibandingkan dengan perniagaan secara konvensional. Program ini bertujuan memberi informasi padat bagi membolehkan warga komuniti sekitar mendapat pendedahan supaya dapat berdayasaing bersama-sama menerokai dunia pemasaran digital.

MDEC adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengawal & menyelia pelaksanaan MSC Malaysia bagi memastikan MSC Malaysia mencapai matlamatnya serta bekerjasama dengan syarikat - syarikat yang ingin beroperasi di MSC Malaysia.

Dalam menyelia MSC Malaysia, MDEC akan memasarkan MSC Malaysia di peringkat global, membentuk undang-undang, dasar dan amalan khusus MSC Malaysia dengan memberi nasihat dan pandangan kepada kerajaan Malaysia dan menetapkan piawaian bagi infrastruktur maklumat dan pembangunan bandar.

Dalam berkerjasama dengan syarikat-syarikat yang berminat untuk beroperasi MSC Malaysia, MDEC akan menjadi juara, pemudah cara dan rakan kongsi. Adalah menjadi misi MDEC untuk memastikan pelabur yang berminat (syarikat berstatus MSC Malaysia) mendapat apa yang diperlukan untuk berjaya. Sebagai sebuah agensi yang berorientasikan pencapaian dan berfokuskan pelanggan, MDEC akan menghapuskan birokrasi dan menyediakan maklumat dan nasihat berkaitan MSC Malaysia, mempercepatkan kelulusan permit dan lesen (pemudahcara) dan memperkenalkan syarikat-syarikat kepada rakan kongsi dan pembiaya berpotensi (ACCESS).

MSC Malaysia direka untuk menarik kedua-dua syarikat tempatan dan syarikat asing. Sekiranya MSC Malaysia ingin mencipta nilai untuk Malaysia, kita perlu menarik minat syarikat-syarikat terkemuka dunia yang bersedia untuk menjadikan MSC Malaysia sebagai hab serantau mereka. Kehadiran syarikat-syarikat ternama ini di MSC Malaysia, akan menjadi pemangkin kepada kelompok Multimedia / IT Malaysia yang berdaya maju yang bakal mencapai tahap antarabangsa di masa akan datang. Ini seterusnya akan membantu Malaysia meningkatkan produktiviti dalam negara dan mencapai Wawasan 2020. Maka disinilah MDEC memainkan peranan secara khusus merencana dan merealisasikan aktiviti-aktiviti penghubung jalin antara syarikat luar negara dan tempatan supaya mendapat pulangan yang dari segi keuntungan.

MDEC juga telah melancarkan beberapa program bagi menyediakan perkhidmatan sokongan kepada syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia seperti pembiayaan dan geran kepada syarikat-syarikat berkelayakkan, perkhidmatan pemudah caraan, akses kepada pasaran luar negara, usahawan tekno dan program-program bimbingan dan banyak lagi sejak dari penubuhannya.

Kini tiba masanya MDEC membawa program yang telah terbukti berjaya menjadi pemangkin syarikat-syarikat tempatan ke arena antarabangsa kepada Komuniti Seri Mengkuang dengan kerjasama PUSAT INTERNET 1 MALAYSIA DESA PAYA MENGKUANG (PI1M) akan mengadakan Program Pemasaran Digital eUsahawan dengan kerjasama MDEC seperti ketetapan dibawahseperti ketetapan berikut:


TEROKAI DUNIA PEMASARAN DIGITAL 
BERSAMA E-USAHAWAN

ANJURAN :
MDEC & PI1M Desa Paya Mengkuang

PADA :
8 April 2017 | SABTU | 9.00 pg - 5.00 ptg

TEMPAT :
PUSAT INTERNET 1 MALAYSIA
Cawangan DESA PAYA MENGKUANG

SYARAT PENYERTAAN:
Hanya terbuka kepada Warga Seri Mengkuang
yang telah menjadi ahli PI1M dan telah mendaftar sebagai usahawan PI1M
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Belum menjadi ahli ? 
Daftar Segera yuran keahlian hanya RM5 sahaja.
Sekiranya berminat, serahkan Nama, No I/C & Jenis Perniagaan kepada Petugas PI1M Desa Paya Mengkuang.

Maklumat Lanjut klik link -> http://www.wasap.my/60162253824

*Terhad kepada 20 Warga Seri Mengkuang yang terawal mendaftar sahaja

Bertindak Segera tingkatkan ilmu mengembangkan perniagaan anda secara atas talian !!!!
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mengenai PI1M

Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat (USP).

PI1M yang dahulu dikenali dengan nama Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar internet, membolehkan komuniti luar bandar menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar.

Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan internet, setiap PI1M menyediakan latihan dan perisian komputer.

Melalui penubuhan PI1M, diharapkan ia akan menyumbang kearah kejayaan insiatif negara untuk merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar, selaras dengan objektif yang digariskan di dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI).

Objektif PI1M

  • Kemudahan akses internet secara kolektif
  • Pendedahan teknologi IT kepada penduduk luar bandar setaraf dengan bandar
  • Memanfaatkan kemudahan disediakan untuk meningkat taraf ekonomi dan sosial
  • Menyumbang ke arah mengurangkan jurang digital di antara masyarakat bandar/luar bandar
  • Membantu mencapai matlamat dalam Pelan Jalur Lebar Kebangsaan


Sejarah

Gelang Patah ialah sebuah pekan terletak di Daerah Johor Bahru, Johor, Malaysia. Pekan ini di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah. Kini namanya semakin megah dan kian popular dengan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar. Namanya juga terkenal disebabkan oleh "otak-otak Gelang Patah", sejenis makanan yang popular di Johor. Antara tempat yang menjadi mercu tanda Gelang Patah ialah jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Gelang Patah juga terkenal dengan restoran-restoran makanan lautnya yang yang menjadi tumpuan ramai penduduk tempatan serta penduduk Singapura.

Taman Desa Paya Mengkuang pula terletak di bawah taman perumahan dan kampung Gelang Patah. Terdapat pelbagai taman dan kampung yang ada selain Taman Desa Paya Mengkuang. Manakala PI1M Desa Paya Mengkuang mula beroperasi sepenuhnya memberikan perkhidmatan kepada seluruh Komuniti Seri Mengkuang pada 19 Julai 2016. Ia dirasmikan oleh YB Dr. Hj Zaini Bin Hj Abu Bakar selaku ADUN Nusajaya pada 8 Ogos 2016. Alamat PI1M disini adalah Pusat Internet 1 Malaysia Desa Paya Mengkuang, No15, Jalan Jurumudi 1, Taman Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah, 81560, Johor Darul Ta'zim, Malaysia.

Pautan rasmi website PI1M Desa Paya Mengkuang:

http://pi1mdesapayamengkuang.digicbc.com/

Soalan – Soalan Lazim berkaitan PI1M

S: Apakah yang dimaksudkan dengan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di bawah Bajet 2013?

J: Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di bawah Bajet 2013 merupakan satu program di mana pihak SKMM akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat terutamanya di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara.

Program ini akan dibiayai dari dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision) selama 3 tahun.

S: Bilakah Pusat Internet 1Malaysia akan dilaksanakan?

J: Pelaksanaan adalah secara berperingkat mulai tahun 2013.

S: Bagaimanakah cara untuk saya memohon Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di kawasan saya ?

J: Pemilihan lokasi PI1M adalah berdasarkan kepada tinjauan dan lawatan tapak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKMM dengan kerjasama agensi Kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.

Perlantikan pemberi perkhidmatan bagi melaksanakan PI1M adalah melalui proses tender terbuka kepada pemegang-pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998).

S: Bagaimanakah kaedah pelaksanaan projek Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)?

J: Proses pelaksanaan PI1M adalah melalui kaedah tender terbuka mengikut peraturan-peraturan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). Sila rujuk www.skmm.gov.my dari semasa ke semasa bagi pemberitahuan tender.

S: Adakah terdapat syarat-syarat khusus untuk membida projek Pusat Internet 1Malaysia? Adakah orang awam boleh memohon untuk membuka Pusat Internet 1Malaysia ini?

J: Pihak pembida hendaklah merupakan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian Individu (NSP(I)),Pemberi Perkhidmatan Kemudahan Rangkaian Individu (NFP(I)) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sila rujuk kepada Bahagian Pelesenan SKMM untuk keterangan lanjut.

S: Apakah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)?

J: Perkhidmatan yang disediakan adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan IT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus.

S: Siapakah yang boleh mengunjungi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)?

J: Penggunaan PI1M adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

S: Dimana PI1M terdekat yang saya boleh mendaftar sebagai ahli?

J: Pihak tuan/puan boleh merujuk kepada senarai Pusat Internet 1Malaysia yang beroperasi di seluruh negara di laman web berikut :- http://www.skmm.gov.my/

Untuk keterangan lanjut, sila berhubung dengan Pejabat Wilayah SKMM yang berdekatan.

S: Adakah saya perlu mendaftar untuk menggunakan kemudahan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)?

J: Pengguna digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli PI1M bagi menikmati kadar yang lebih murah bagi setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.

S: Adakah saya akan dikenakan caj sekiranya menggunakan kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)?

J: Terdapat kemudahan dan perkhidmatan yang dikenakan dengan kadar caj yang rendah dan berpatutan.

S: Saya berminat untuk mengikut program latihan ICT di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M). Berapakah kadar yang dikenakan bagi setiap program latihan?

J: Tiada bayaran akan dikenakan ke atas setiap program latihan yang disediakan. Anda dinasihatkan untuk berhubung dengan pengurus PI1M yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

S: Apakah perbezaan di antara Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dengan cybercafe sediada?

J: Setiap penggunaan komputer PI1M adalah dipantau oleh Sistem Pemantauan Berpusat dan Pengurus bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan. Selain itu, terdapat juga kempen kesedaran dan panduan penggunaan internet kepada pengguna.

S: Saya berminat untuk memohon jawatan pengurus atau penolong pengurus Program Pusat Internet 1 Malaysia. Adakah permohonan untuk jawatan ini sudah di buka dan bagaimanakah cara untuk memohon.

J: Sebarang permohonan jawatan bagi Pengurus dan Penolong Pengurus akan diiklankan dari masa ke semasa di lokasi Pusat Internet 1Malaysia, Pejabat Daerah dan juga Pejabat Wilayah SKMM.

Maklumat Lanjut sila klik ke pautan berikut:

http://www.mdec.my/ 

https://www.mcmc.gov.my/​