MPJBT di isytihar sebagai MBIP

Iskandar Puteri - 23 Nov 2017-

Hari ini Iskandar Puteri secara rasminya di isytihar sebagai bandar raya ke 14 di Malaysia dan bandar raya ke dua di Johor selepas Johor Bahru​. Ia menjadikan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) bertukar wajah kepada Majlis Bandaraya Iskandar Putri (MBIP).

​Majlis pengisytiharan disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di tapak bangunan pejabat baharu MBIP di Bandar Medini Iskandar. Pengisytiharan ini amat bermakna kepada warga Johor, terutama dalam mengembalikan kemasyhuran nama Iskandar Puteri serta menyaksikan kemunculan sebuah lagi bandar raya berkepentingan nasional dan antarabangsa. Ia juga membuktikan kepesatan pembangunan di kawasan Iskandar Puteri, selain berupayamelonjakkan transformasi wilayah pembangunan Iskandar Malaysia. Iskandar Puteri bukan sahaja akan menjadi bandar raya maju, moden dan terbaik, malah ianya adalah simbol ingatan berkekalan rakyat kepada sejarah Johor. Iskandar Puteri akan diuruskan sebagai bandar raya dengan sistem penyampaian setara dengan citra kependudukan dan tuntutan inovasi dalam sistem penyampaian. Yang Dipertua MPJBT, Adib Azhari Daud, dilantik sebagai Datuk Bandar Pertama Iskandar Puteri.

Secara ringkasnya, sejarah perkembangan awal Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah ini bermula dengan penubuhan 8 buah Majlis Tempatan sekitar tahun 60an dibawah Town Board Enactment 118. Hasil daripada penduduk dan pertambahan pegangan maka pada 1 Mac 1978, Majlis Daerah Johor Bahru Tengah telah ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang merangkumi kawasan seluas 104.7 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 150,000 orang.

Kesan daripada pertumbuhan yang berterusan maka pada tahun 1995, Majlis Daerah Johor Bahru Tengah telah diperluaskan kawasan petadbirannya sehingga 303.48 kilometer persegi dengan jumlah pegangan meningkat kepada 98,515 unit dan jumlah penduduk bertambah sehingga mencapai 500,000 orang

Majlis Tempatan Skudai

Pekan Skudai terletak di Batu 10, Jalan Ayer Hitam Johor Bahru dan juga di antara Simpang Jalan Gelang Patah dan Simpang Jalan Pontian, 16km daripada Bandaraya Johor Bahru.

Majlis Tempatan Skudai telah ditubuhkan pada tahun 1953 mengikut Undang-Undang Majlis Tempatan 1952 dan The Town Boards Enactment No. 118. Majlis Tempatan ini ditadbirkan oleh sebuah Lembaga Pengurusan yang mengandungi 8 orang Ahli-ahli Mesyuarat di mana 6 orang dipilih oleh penduduk tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Majlis Tempatan, 1960. Manakala 2 orang lagi dilantik oleh Kerajaan Negeri. Poh Yong Kee telah dipilih sebagai Pengerusi pertama Majlis Tempatan Skudai daripada 1953 hingga 1960. Beliau dipilih semula pada tahun 1962 dan terus memegang jawatan tersebut sehingga 1973.

Luas kawasan Pentadbiran bertambah kepada 340 ekar pada tahun 1970. Bilangan rumah kediaman dan rumah kedai pada tahun 1957 adalah sebanyak 184 buah dan kebanyakkannya dari jenis sementara. Pada tahun 1976, bilangan rumah kediaman dan rumah kedai telah bertambah 3 kali ganda kepada 593 buah. Ini disebabkan oleh beberapa projek perumahan telah dilaksanakan oleh pihak-pihak swasta pada masa tersebut.

Majlis Tempatan Lima Kedai

Sebelum meletus perang dunia ke-2, seorang lelaki berbangsa Inggeris telah membina sebuah rumah kediaman di atas bukit di tapak kuari. Beliau juga bertanggungjawab membina 5 unit kedai di tepi sungai berhampiran sebuah jambatan. Kelima-lima unit kedai ini telah disewakan kepada 4 penduduk berbangsa Cina dan seorang Benggali. Mereka telah menjalankan perniagaan menjual barangan runcit, kedai kopi dan kedai gunting.

Walaubagaimanapun, semasa darurat pada tahun 1948, 5 unit kedai ini dan penduduk-penduduk di persekitarannya telah diperintahkan berpindah ke Ladang Getah Hiap Seng yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Lima Kedai.

Pada peringkat awal terdapat 42 unit rumah papan dan lot-lot tapak rumah ini telah dikurniakan oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan Pegawai Penempatan Semula. Sebuah balai polis juga telah dibina.

Majlis Tempatan Lima Kedai telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1954 dengan menyewa sebuah rumah sebagai pejabat. Pada 31 Mei 1959, satu pilihanraya Majlis-Majlis Bandaran dan Tempatan telah diadakan dan seorang Pengerusi telah dilantik. Kerajaan juga telah mencadangkan supaya pilihanraya diadakan setiap 3 tahun. Oleh itu pada tahun 1962, satu lagi pilihanraya telah diadakan.

Majlis Tempatan Gelang Patah

Majlis Tempatan Gelang Patah telah ditubuhkan pada 3 September 1953 dan ditadbir oleh Penolong Pegawai Daerah bersama-sama 6 orang Ahli Majlis yang dipilih penduduk. Pengerusinya ialah Lim Tee Tong dan beliau memegang jawatan tersebut untuk beberapa tahun. Pada 21 Ogos 1957, 2 orang Ahli Majlis baru telah dilantik oleh Kerajaan Negeri yang terdiri daripada seorang Melayu dan seorang India.

Pilihanraya telah diadakan pada setiap tahun bagi memilih Ahli Majlis dan pada tahun 1962, satu pilihanraya telah diadakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Pilihanraya Johor Bahru di bawah Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960. Pada tahun 1961, Parti Sosialis Front telah mengambil bahagian dalam pilihanraya tersebut untuk menentang calon-calon dari parti MCA.

Majlis Tempatan ditadbir mengikut Undang-Undang Majlis Tempatan 1952, dan The Town Boards Enactment No. 118. Pihak Kerajaan telah mengurniakan bantuan kewangan setiap tahun untuk membolehkan pihak Majlis Tempatan menjalankan pentadbirannya dengan lancar. Punca pendapatan Majlis Tempatan ini diperolehi daripada cukai pintu, cukai najis, lesen-lesen perniagaan, lesen basikal dan juga mengambil dalal atas pungutan hasil air.

Majlis Tempatan Ulu Choh

Lebih kurang 50 tahun dahulu, Ulu Choh hanyalah kawasan hutan tebal yang tersorok. Pihak kerajaan pada ketika itu menggalakkan penduduk di sekitar kawasan itu untuk mengambil bahagian dalam sektor pertanian seperti penanaman pokok getah dan sayur-sayuran. Pada masa yang sama juga, Singapura memerlukan bekalan air dari Johor. Dari peristiwa itu, Singapura telah membuka cawangan P.U.B di Ulu Choh untuk memproses bekalan air untuk mereka sendiri. Pembukaan cawangan P.U.B. telah meningkatkan kemasukan orang ramai sehingga terbentuknya sebuah perkampungan kecil yang kemudiannya dikenali sebagai Batu 22, Jalan Kolam Air.

Kampung Ulu Choh dibentuk pada 1951 dan pada awal 1953, Batu 22 telah diisytiharkan sebagai Majlis Tempatan Ulu Choh. Pihak kerajaan kemudiannya melantik beberapa orang tempatan yang dikenali sebagai ahli majlis. Pengerusi ahli majlis tempatan yang pertama ialah Kok Yin Khian diikuti oleh Kok Kim Hee.

Pada tahun 1959, pilihan raya Majlis Tempatan Ulu Choh yang pertama telah diadakan untuk memilih pihak berkuasa tempatan.

Majlis Tempatan Ulu Tiram

Ulu Tiram terletak kira-kira 20km dari bandar Johor Bahru ke arah Jalan Kota Tinggi. Kampung Baru ini yang dibuka sejak tahun 1927 mempunyai lebih kurang 500 orang penduduk dengan 47 unit rumah kedai dan 5 unit rumah kediaman. Ia juga mempunyai sebuah Balai Polis dan sebuah Wakil Pos.

Ulu Tiram mula bertukar wajah apabila pejabat penempatan semula Resettlement dijalankan oleh Kerajaan semasa darurat pada tahun 1949 dan 1951. Penduduk-penduduk telah dikumpulkan dan diberikan bantuan asas termasuklah mendirikan rumah kediaman.

Pada tahun 1949, sebuah New Village Committee di bawah jagaan Resettlement Officer telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini mempunyai 6 orang ahli dan pengerusinya ialah Yong Yaw Num.

Pada akhir tahun 1953, Majlis Tempatan Ulu Tiram diisytiharkan untuk mengambil alih New Village Committee. Pilihanraya yang terakhir diadakan pada 30 Mei 1962. 4 calon Parti Perikatan dan 4 calon Parti Barisan Sosialis telah dipilih dan 1 lagi perlantikan oleh Kerajaan, Jawatankuasa Majlis Tempatan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Liew Sing Seng dari Parti Perikatan.

Majlis Tempatan Plentong

Ketika berlakunya darurat pada tahun 1949, penduduk-penduduk dari Kampung Baru Ban Foo, Kampung Lunchoo, Ladang San dan kampung-kampung yang berdekatan telah diarahkan oleh Kerajaan supaya berpindah dan dikumpulkan di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Plentong.Majlis Tempatan Plentong telah ditubuhkan pada 1953 berikutan dengan pertambahan penduduk yang semakin ramai dan untuk menjaga keselamatan pekan tersebut. Pada ketika itu hanya 9 orang ahli jawatankuasa yang telah dipilih oleh penduduk manakala 2 orang ahli lagi dilantik oleh Kerajaan.Pada tahun 1958, sebuah bangunan Balairaya telah didirikan oleh Kerajaan untuk kegunaan orang ramai. Pada tahun 1967, sebuah pejabat Majlis Tempatan dibina di sebelah balairaya tersebut. Di sinilah pilihanraya dijalankan pada setiap tahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasa yang layak.

Majlis Tempatan Masai

Majlis Tempatan Masai pada mulanya adalah merupakan sebuah kampung kecil yang penduduknya tidak begitu ramai. Pada tahun 1949, ketika negara diancam oleh komunis dan diletakkan di bawah keadaan darurat, penduduk yang tinggal terpenci di tepi ladang dan kampung yang berhampiran telah diarah berpindah ke Masai. Pertambahan penduduk dan kekuatan pengaruh komunis telah mengancam keselamatan kawasan kampung. Akibatnya, pihak Kerajaan telah mengambil keputusan memagar kawasan tersebut untuk melindungi penduduk Masai daripada dihasut komunis dan bagi memudahkan urusan-urusan pentadbiran.

Pada tahun 1952, Kerajaan juga telah mengambil langkah sebagaimana Majlis-Majlis Tempatan lain, dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir kampung tersebut yang diketuai oleh Chee Meng Kee. Majlis Tempatan Masai telah ditubuhkan pada tahun 1953 dengan dianggotai oleh 9 orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Chee Meng Kee. Pemilihan ini dibuat menerusi pilihanraya di mana 3 calon telah bertanding dengan menggunakan simbol kereta, basikal dan telefon. Pegawai Daerah pertama semasa penubuhan Majlis Tempatan ini ialah Tan Sri Dato' Samsu Bin Mahmood.

Di petik dari http://www.mbip.gov.my/

Fungsi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

1. Merancang dan mengawal pembangunan.
2. Sebagai penguasa yang mengawal dan memastikan segala aktiviti di kawasan pentadbiran mengikut undang-undang.
3. Mengeluar dan mengawal lesen-lesen perniagaan, papan tanda iklan perniagaan, penjaja dan menyediakan kemudahan seperti kedai, bazar, gerai, pasar awam serta lain-lain.
4. Mengawal selia perkhidmatan perbandaran.
5. Menyediakan dan menyelenggara kemudahan rekreasi, landskap dan kemudahan awam.
6. Menyediakan dan menyelenggara kemudahan infrastruktur seperti jalan, perparitan dan lampu jalan.
7. Lain-lain tugas yang bersesuaian dengan peruntukan undang-undang.
8. Pengurusan kewangan yang diurus dengan cekap, berkesan dan sistematik mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.
9. Sebagai badan kawalan bangunan dalam mematuhi undang-undang, akta-akta, garis panduan, dasar-dasar am Majlis dalam mewujudkan persekitaran yang terkawal dan teratur.

Kaunter Bergerak

JADUAL PERKHIDMATAN KAUNTER BERGERAK
MAJLIS BANDARAYA ISKANDAR PUTERI

WAKTU KAUNTER BEROPERASI:

8.30 pagi - 1.00 petang

1.00 petang - 2.00 petang (REHAT)

2.00 petang - 4.00 petang

HARI AHAD

DEWANRAYA GELANG PATAH

Jalan Utama,

81550 Gelang Patah, Johor.

HARI ISNIN

DEWANRAYA KANGKAR PULAI

Jalan Sekolah,

81100 Kangkar Pulai, Johor.

HARI SELASA

DEWANRAYA TAMAN UNIVERSITI

Jalan Kebudayaan, Taman Universiti,

81300 Skudai, Johor.

HARI RABU

WISMA SP SETIA

S3-01111, Laman Indah 3,

Jalan Indah 15,

Taman Bukit Indah

79100 Iskandar Puteri, Johor.

**Jadual ini adalah tertakluk kepada perubahan, sila rujuk laman ini dari semasa ke semasa untuk jadual perkhidmatan terkini.

Aduan

Sebarang aduan di kawasan MBIP boleh diajukan menggunakan saluran di bawah :

1) Email - aduan@mpjbt.gov.my

2) Helpdesk - help.mpjbt.gov.my

3) Telefon - 07-5582 009

4) Whatsapp - 019-7555 404